TIPS-TIPS UNTUK LULUS UJIAN UNDANG-UNDANG BERKOMPUTER

September 5, 2010 149 comments

Anda akan dibenarkan menduduki Ujian Undang-Undang Berkomputer kira-kira 3 hari selepas selesai tamat kelas K.P.P. 5 jam. Ujian ini sebenarnya mudah kerana anda telah dibekalkan dengan buku teks, buku contoh soalan dan CD contoh soalan. Yang penting anda perlu mengulangkajinya. Walaubagaimanapun, masih ramai yang menghadapi kesukaran untuk lulus dalam ujian ini. Malah terdapat juga yang telah mengambil lebih daripada 3 kali, tetapi masih belum lulus.

Disini, saya akan berikan tips-tips bagi membantu anda semua untuk lulus. Terdapat 50 soalan di dalam ujian ini. Markah lulus ialah 42 markah. Ini bermakna maksimum kesalahan yang boleh anda lakukan ialah 8 soalan.

Ujian ini dibahagi kepada 3 bahagian. Bahagian A (Papan Tanda) mempunyai 15 Soalan. Bahagian ini adalah yang paling mudah. Oleh itu, anda perlu untuk menjawab dengan betul pada semua soalan di bahagian ini. Cuba ketika anda keluar rumah dengan menaiki kereta atau bas, sila perhatikan papan-papan tanda di jalan raya dan fahamkan betul-betul fungsinya.

Bahagian B (Panduan Berhemat) pula mengandungi 25 Soalan. Soalan-soalan di bahagian ini memang panjang dan agak susah sedikit. Ia memerlukan anda untuk berfikir sebelum menjawab soalan-soalan tersebut. Sila cuba untuk hanya melakukan  4 kesalahan sahaja.

Yang terakhir sekali ialah Bahagian C (Akta Pengangkutan Jalan dan Sistem Kejara). Ia mempunyai 10 soalan sahaja. Sekiranya anda benar-benar mengulangkaji, pastinya tidak susah untuk menjawab soalan di bahagian ini. Kerana semua jawapan yang diberikan adalah fakta. Anda perlu mencapai markah yang tinggi dalam bahagian ini. Banyakkan latihan menjawab soalan di bahagian ini dan cuba hafal soalan dan jawapannya. Oleh itu, sila jangan membuat lebih daripada 3 kesalahan.

Kesimpulannya, jika anda ikut apa yang diperkatakan di atas, anda hanya akan membuat 7 kesalahan sahaja iaitu 0 di Bahagian A, 4 di Bahagian B dan 3 di Bahagian C. Anda akan memperoleh markah 43/50 di mana sudah semestinya anda akan lulus ujian ini. Ikut panduan-panduan di atas dan anda pasti berjaya.

Sekian. Selamat Berjaya.

Advertisements

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENDAPATKAN LESEN MEMANDU

Di bawah ini diterangkan secara ringkas mengenai Langkah-Langkah Untuk Mendapatkan Lesen Memandu :

1) Pastikan Jenis Lesen Yang Mahu Diambil

Sebelum mendaftar dengan sekolah memandu, pastikan dulu umur anda sekarang sudah mencapai had kelayakan untuk mengambil lesen atau belum. Had umur untuk lesen motorsikal ialah 16 tahun manakala kereta ialah 17 tahun.

2) Mendaftar Dengan Sekolah Memandu

Pergi ke mana-mana sekolah memandu yang sah dan bincang mengenai harga, kemudahan pengangkutan, jumlah jam belajar dan sebagainya yang ditawarkan. Kemungkinan juga anda akan gagal ujian undang-undang dan ujian praktikal JPJ. Pastikan anda bertanya kepada pengusaha sekolah memandu tersebut mengenai jumlah bayarannya. Begitu juga dengan Lesen L dan P. Adakah ia termasuk dalam jumlah bayaran tersebut. Kebiasaannya harga untuk semua itu bagi lesen kereta ialah antara RM800 – RM950 manakala lesen motorsikal RM450 – RM550. Anda boleh mengurangkan kos seperti menolak kemudahan pengangkutan, mengurangkan jam belajar dan membayar sendiri lesen L dan P di JPJ. Jika sudah setuju boleh terus mendaftar di sekolah memandu tersebut dengan menyerahkan salinan MyKad, gambar 2 keping dan bayaran deposit. Pastikan resit pembayaran diterima.

3) Senarai Kelas Yang Wajib Diikuti

Kursus-kursus yang wajib anda hadiri ialah:
i) Kursus 5 jam K.P.P. (Kursus Pendidikan Pemandu).
ii) Ujian undang-undang berkomputer. Perlu lulus sebelum boleh mengikuti kelas seterusnya.
iii) Kursus Pra L – teori 3 jam dan amali 3 jam.
iv) Ujian pra kelayakan atau Q.T.I.
v) Ujian praktikal J.P.J.

4) Meghadiri kursus K.P.P. 5 jam.

Pilih hari yang sesuai untuk anda menghadiri kursus K.P.P. ini. Biasanya kelas bermula jam 9.30 pagi dan tamat pada jam 4.00 petang. Pastikan anda berpakaian kemas seperti memakai baju berkolar, seluar panjang dan kasut setiap kali anda menghadiri kelas memandu. Sijil K.P.P. ini sah laku selama 1 tahun.

5) Ujian Undang-Undang Berkomputer

Selepas 3 hari anda menghadiri kursus K.P.P., anda dibolehkan untuk menduduki ujian undang-undang berkomputer di pusat ujian berdekatan dengan rumah anda. Markah lulus ialah 42/50. Jika gagal anda perlu mendudukinya semula sehingga lulus bagi melayakkan anda menduduki kelas Pra L. Kebiasaannya anda akan dikenakan bayaran sebanyak RM50 untuk mendudukinya semula. Selepas lulus ujian undang-undang, anda diberikan sijil keputusan. Sijil ini sah laku selama 1 tahun.

6) Menghadiri Kursus Pra L – Teori 3 Jam dan Amali 3 Jam

Kehadiran ke kelas ini bagi membolehkan anda mendapatkan sijil JPJL2B. Dengan ini akan dapat Lesen L kira-kira seminggu selepas tarikh anda menghadiri kursus ini.

7) Belajar Memandu Kereta Atau Motorsikal

Lesen L melayakkan anda untuk belajar secara praktikal memandu. Untuk L motorsikal, anda sudah boleh memandu di jalan raya secara berseorangan. L kereta pula, anda perlu belajar memandu dari pengajar yang mempunyai sijil pengajar. Latihan memandu biasanya adalah selama 4 – 5 kelas atau 8 – 10 jam. Ia bergantung kepada calon itu sendiri. Ada juga yang belajar lebih dari itu. Sudah pasti harga juga akan meningkat. Untuk motorsikal, anda akan belajar membuat pusingan 8, titi, halangan kon, brek kecemasan dan jalan raya. Semua itu dilakukan di litar motorsikal yang disediakan oleh institut memandu. Untuk lesen kereta pula, anda akan diajar menaiki bukit, side parking, 3 penjuru dan jalan raya. Semua itu akan diajar di litar kecuali jalan raya anda akan diajar di jalan raya sebenar.

8) Ujian Pra Atau Q.T.I.

Ujian ini dijalankan sebelum anda dibenarkan untuk menduduki ujian praktikal J.P.J. Ia dijalankan oleh penguji yang bertauliah di institut memandu. Penguji-penguji ini biasanya akan melihat sejauh mana tahap pemanduan anda. Sekiranya gagal dia akan mencadangkan anda untuk belajar 1 atau 2 kelas lagi sebelum diuji semula. Setelah lulus anda boleh menempah tarikh ujian praktikal JPJ.

9) Ujian Praktikal J.P.J.

Anda akan diuji oleh penguji yang dihantar oleh pihak JPJ. Terdapat 2 bahagian iaitu litar dan jalan raya. Anda perlu lulus kedua-duanya bagi membolehkan anda mendapatkan lesen P. Jika gagal, kebiasaannya anda akan dikenakan caj tambahan sebanyak RM100 – RM200 termasuk 1 atau 2 kelas lagi belajar memandu.

10) Lesen P

Setelah lulus ujian praktikal JPJ, anda perlu menyerahkan butir-butir di bawah kepada sekolah memandu anda :
i) 1 keping gambar.
ii) 1 keping salinan fotostat MyKad.
iii) 1 keping salinan lesen L.
iv) Bayaran (jika ada)

Dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu anda akan mendapat lesen P tersebut.

Categories: Lesen Memandu

SELAMAT DATANG KE BLOG SEKOLAH MEMANDU

Terima Kasih saya ucapkan kepada anda di atas kesudian anda melawati blog ini. Blog ini menyediakan perkara-perkara mengenai sekolah memandu, undang-undang jalan raya, jenis-jenis lesen, insurans kenderaan dan sebagainya. Diharap anda akan mendapat faedah daripada blog ini. Terima Kasih.

Categories: Blog Sekolah Memandu