Archive

Archive for the ‘Lesen Memandu’ Category

MELETAKKAN KENDERAAN SECARA MEMBELOK / “SIDE PARKING”

December 12, 2010 6 comments

Terdapat beberapa cara yang boleh diajar kepada calon-calon untuk meletakkan kenderaan secara membelok atau “side parking” ini. Walaubagaimanapun, sesesorang calon dinasihatkan perlu terlebih dahulu memahirkan diri dalam pengawalan “clutch” dan “brake” sebelum belajar melakukan “side parking” ini. Ia penting supaya calon dapat mengikut langkah-langkah yang diajar dan supaya kenderaan tidak terlalu laju dan mudah untuk dikawal.

Hari ini saya akan menerangkan bagaimana untuk meletakkan kenderaan secara membelok atau “side parking” ini bardasarkan langkah-langkah yang dinamakan 7 tiang. Ianya teknik yang popular diajar oleh kebanyakan tenaga pengajar di institut-institut memandu.

Nota di bawah ini saya fikir agak mudah untuk diikuti dan cuba untuk faham dan ingat betul-betul. Jika anda berjaya menghafalnya anda pasti akan berjaya untuk lulus ujian JPJ nanti. Tapi ingat, ini hanyalah sebagai rujukan. Anda boleh bertanya dengan Pengajar anda jika perlu kerana Pengajar anda pastinya lebih memahami bagaimana untuk mengajar anda dengan lebih baik.

Langkah Gear Steering Mata Cara
1 R Tegak Tiang 1 dan cermin segi tiga belakang sebelah kanan
  • Luruskan tayar.
  • Pandang cermin segi tiga belakang sebelah kanan.
  • Undur kereta sehingga tiang 1 berada di tengah cermin tersebut dan berhenti.
2 R Kiri habis Tiang Belakang dan cermin pandang sisi sebelah kanan
  • Pusing steering ke kiri sehingga habis.
  • Pandang cermin pandang sisi sebelah kanan.
  • Undur kereta sehingga anda melihat tiang belakang yang ketujuh dan berhenti.
3 R Kanan 2 kali Tiang 1 dan depan cermin pandang sisi sebelah kiri
  • Pusing steering ke kanan sebanyak 2 kali.
  • Undurkan kereta sehingga depan cermin pandang sisi sebelah kiri selari dengan tiang 1 dan berhenti.
4 R Kanan habis Tiang belakang
  • Pusing steering ke kanan sehingga habis.
  • Toleh ke kiri untuk melihat belakang.
  • Undur sehingga menghampiri tiang belakang dan berhenti.
5 1 Kiri 2 kali Tiang depan
  • Pusing steering ke kiri 2 kali.
  • Bergerak ke hadapan sehingga menghampiri tiang depan.
6 N - -
  • Bebaskan gear, tekan horn dan angkat tangan menandakan anda sudah selesai.
7 R - Tiang belakang
  • Toleh ke kiri untuk melihat belakang.
  • Undur sehingga menghampiri tiang belakang dan berhenti.
8 1 Kanan habis Tiang 1 dan setengah cermin penumpang depan sebelah kiri
  • Pusing steering ke kanan sehingga habis.
  • Bergerak ke hadapan sehingga tiang 1 selari dengan setengah cermin penumpang depan sebelah kiri.
9 1 Kiri habis -
  • Pusing steering ke kiri sehingga habis.
  • Bergerak ke hadapan sambil tegakkan tayar.
  • Pastikan anda tidak melanggar tiang 1 atau tiang di sebelah kanan anda.

TIPS-TIPS UNTUK LULUS UJIAN JPJ – KELAS B2 (MOTORSIKAL)

December 10, 2010 60 comments

Dalam ujian praktikal kelas B2, calon harus menunggang dengan baik dan yakin. Walaupun ia nampak mudah, calon perlu mendapatkan latihan sepenuhnya sebelum menghadapi ujian. Ini bagi memudahkan calon ketika menghadapi ujian nanti kerana semua latihan yang dijalankan adalah sama dengan ujian tersebut.

Pertama sekali harus diingat, sebelum mula menunggang motorsikal, calon perlu memakai topi keledar dengan cara yang betul iaitu kemas. Pastikan tidak ada ruang yang longgar ketika mengikat tali topi keledar itu.

Antara halangan yang calon akan hadapi di bahagian 2 ujian jpj ialah membuat pusingan 8. Pastikan anda menunggang di atas pusingan 8 itu dengan menggunakan gear yang kedua. Ianya merupakan gear yang lebih lancar, tidak terlalu perlahan dan tidak terlalu laju. Ikut betul-betul pusingan tersebut supaya tidak terbabas. Calon sama sekali tidak dibenarkan untuk menurunkan kaki ke atas jalan raya.

Selepas itu, calon perlu melepasi laluan titi sepanjang 7 atau 8 meter dalam tempoh 7 saat ke atas. Di sini calon mestilah menunggang secara perlahan dan pandai untuk mengimbangkan motor di atas titi tersebut dengan menggunakan gear 2. Cuba buat kiraan “satu ribu satu” hingga “satu ribu tujuh” ketika di atas titi tersebut. Selesai kiraan, calon boleh terus bergerak ke depan untuk menuruni titi tersebut.

Halangan ketiga ialah mengawal motorsikal ketika melalui antara kon-kon yang diletakkan secara “zig-zag”. Di sini ialah halangan yang paling mudah untuk dilakukan oleh calon. Sekali lagi diingatkan, jangan turunkan kaki ke atas jalan raya.

Yang terkakhir sekali dalam bahagian 2 ialah memberhentikan motorsikal secara kecemasan. Dengan had laju yang sederhana, calon dikehendaki berhenti dalam ruang yang diberikan. Calon perlu untuk menekan brake tangan dan brake kaki serentak di sini. Ketika berhenti, hanya kaki kiri sahaja memijak jalan raya. Kaki kanan masih di atas brake.

Selesai ujian bahagian 2, kini calon perlu pula untuk melepasi ujian bahagian 3 iaitu ujian jalan raya. Calon perlu memeriksa topi keledar terlebih dahulu supaya ikatannya kemas. kemudian, periksa satu persatu lampu hadapan dan belakang, lampu brake, lampu signal kiri dan kanan di hadapan dan belakang, side mirror kiri dan kanan serta bunyikan hon sebelum berjalan.

Pastikan calon memberikan isyarat signal dan isyarat tangan sebanyak tiga kali  jika ingin belok ke kiri atau kanan. Ketika berhenti, pastikan tangan kanan diangkat menandakan calon berhenti. Apabila selesai, turun dari motor dan letak motor tersebut dengan “Stand” dua kaki. Menggunakan “stand” satu kaki akan mengakibatkan calon ditolak  markah.

Diharap tips-tips di atas dapat membantu anda dalam menghadapi ujian tersebut. Semoga Berjaya.

TIPS-TIPS UJIAN JPJ – BHG. 3 (JALAN RAYA) KELAS D (KERETA)

September 5, 2010 19 comments

Ketika menghadiri Ujian JPJ,  anda perlu berpakaian sopan dan menjaga tata tertib. Yang dimaksudkan berpakaian sopan ialah dengan memakai baju berkolar, seluar panjang dan kasut. Di bawah ini adalah tips-tips yang mesti anda lakukan ketika menghadapi Ujian JPJ bahagian jalan raya untuk kereta.

1) Membuat pemeriksaan terhadap kenderaan

i) Laraskan tempat duduk. Pastikan anda selesa untuk memandu.

ii) Periksa cermin pandang belakang dan kedua-dua belah cermin sisi. Pastikan anda dapat melihat dengan baik belakang kereta  anda.

iii) Menguji signal, lampu, lampu kecemasan dan ‘wiper’. Pastikan semua itu berfungsi.

iv) Memastikan gear berada dalam kedudukan bebas (‘neutral’) dan hidupkan enjen kereta.

v) Memakai tali pinggang keselamatan sebelum memulakan perjalanan.

2) Berhenti di Persimpangan
Sebelum sampai di persimpangan, pastikan anda sudah memberikan signal ke arah yang hendak belok. Berhenti kira-kira 2 meter di belakang garisan berhenti di persimpangan. Tarik brek tangan dan bebaskan gear.  Pastikan tiada kereta yang datang dari sebelah kiri atau kanan sebelum bergerak keluar.

2) Memandu di Jalan Raya
Pastikan anda menggunakan gear yang sesuai. Cuba patuhi had laju yang ditetapkan.  Di jalan raya, had lajunya ialah kira-kira 40-60 kmj. Memandu di kawasan sekolah, had lajunya ialah 30 kmj. Pastikan anda dapat mengawal stereng dengan baik.

3) Memandu di Garisan Berkembar (‘Double Line’)
Anda TIDAK DIBENARKAN untuk memotong di kawasan ini. Kebiasaannya di kawasan sekolah, jambatan, selekoh dan persimpangan.

4) Memandu di Lampu Isyarat
Anda hendaklah mematuhi lampu isyarat. Jika anda nampak lampu isyarat bertukar kepada warna kuning, anda perlu bersedia untuk berhenti. Sekiranya kenderaan anda belum melepasi garisan berhenti, and seharusnya Berhenti. Kalau kenderaan sudah melepasi garisan berhenti, anda dibolehkan untuk meneruskan perjalanan dengan syarat perlu berhati-hati.

5) Kawalan Stereng
Kedudukan tangan di stereng perlu di posisi 2 dan 10. Pastikan tangan anda tidak bersilang ketika melakukan pusingan. Jangan hanya menggunakan sebelah tangan semasa memandu. Anda diizinkan memegang dengan satu tangan apabila menukar gear.

6) Memberhentikan Kenderaan Setelah Selesai Ujian
Sebelum berhenti, pastikan anda sudah memberikan signal kiri terlebih dahulu. Kemudian berhenti secara perlahan-lahan. Bebaskan gear dan tarik ‘hand brake’.

Diharap tips-tips di atas dapat membantu anda dalam menghadapi ujian tersebut. Semoga Berjaya.

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENDAPATKAN LESEN MEMANDU

Di bawah ini diterangkan secara ringkas mengenai Langkah-Langkah Untuk Mendapatkan Lesen Memandu :

1) Pastikan Jenis Lesen Yang Mahu Diambil

Sebelum mendaftar dengan sekolah memandu, pastikan dulu umur anda sekarang sudah mencapai had kelayakan untuk mengambil lesen atau belum. Had umur untuk lesen motorsikal ialah 16 tahun manakala kereta ialah 17 tahun.

2) Mendaftar Dengan Sekolah Memandu

Pergi ke mana-mana sekolah memandu yang sah dan bincang mengenai harga, kemudahan pengangkutan, jumlah jam belajar dan sebagainya yang ditawarkan. Kemungkinan juga anda akan gagal ujian undang-undang dan ujian praktikal JPJ. Pastikan anda bertanya kepada pengusaha sekolah memandu tersebut mengenai jumlah bayarannya. Begitu juga dengan Lesen L dan P. Adakah ia termasuk dalam jumlah bayaran tersebut. Kebiasaannya harga untuk semua itu bagi lesen kereta ialah antara RM800 – RM950 manakala lesen motorsikal RM450 – RM550. Anda boleh mengurangkan kos seperti menolak kemudahan pengangkutan, mengurangkan jam belajar dan membayar sendiri lesen L dan P di JPJ. Jika sudah setuju boleh terus mendaftar di sekolah memandu tersebut dengan menyerahkan salinan MyKad, gambar 2 keping dan bayaran deposit. Pastikan resit pembayaran diterima.

3) Senarai Kelas Yang Wajib Diikuti

Kursus-kursus yang wajib anda hadiri ialah:
i) Kursus 5 jam K.P.P. (Kursus Pendidikan Pemandu).
ii) Ujian undang-undang berkomputer. Perlu lulus sebelum boleh mengikuti kelas seterusnya.
iii) Kursus Pra L – teori 3 jam dan amali 3 jam.
iv) Ujian pra kelayakan atau Q.T.I.
v) Ujian praktikal J.P.J.

4) Meghadiri kursus K.P.P. 5 jam.

Pilih hari yang sesuai untuk anda menghadiri kursus K.P.P. ini. Biasanya kelas bermula jam 9.30 pagi dan tamat pada jam 4.00 petang. Pastikan anda berpakaian kemas seperti memakai baju berkolar, seluar panjang dan kasut setiap kali anda menghadiri kelas memandu. Sijil K.P.P. ini sah laku selama 1 tahun.

5) Ujian Undang-Undang Berkomputer

Selepas 3 hari anda menghadiri kursus K.P.P., anda dibolehkan untuk menduduki ujian undang-undang berkomputer di pusat ujian berdekatan dengan rumah anda. Markah lulus ialah 42/50. Jika gagal anda perlu mendudukinya semula sehingga lulus bagi melayakkan anda menduduki kelas Pra L. Kebiasaannya anda akan dikenakan bayaran sebanyak RM50 untuk mendudukinya semula. Selepas lulus ujian undang-undang, anda diberikan sijil keputusan. Sijil ini sah laku selama 1 tahun.

6) Menghadiri Kursus Pra L – Teori 3 Jam dan Amali 3 Jam

Kehadiran ke kelas ini bagi membolehkan anda mendapatkan sijil JPJL2B. Dengan ini akan dapat Lesen L kira-kira seminggu selepas tarikh anda menghadiri kursus ini.

7) Belajar Memandu Kereta Atau Motorsikal

Lesen L melayakkan anda untuk belajar secara praktikal memandu. Untuk L motorsikal, anda sudah boleh memandu di jalan raya secara berseorangan. L kereta pula, anda perlu belajar memandu dari pengajar yang mempunyai sijil pengajar. Latihan memandu biasanya adalah selama 4 – 5 kelas atau 8 – 10 jam. Ia bergantung kepada calon itu sendiri. Ada juga yang belajar lebih dari itu. Sudah pasti harga juga akan meningkat. Untuk motorsikal, anda akan belajar membuat pusingan 8, titi, halangan kon, brek kecemasan dan jalan raya. Semua itu dilakukan di litar motorsikal yang disediakan oleh institut memandu. Untuk lesen kereta pula, anda akan diajar menaiki bukit, side parking, 3 penjuru dan jalan raya. Semua itu akan diajar di litar kecuali jalan raya anda akan diajar di jalan raya sebenar.

8) Ujian Pra Atau Q.T.I.

Ujian ini dijalankan sebelum anda dibenarkan untuk menduduki ujian praktikal J.P.J. Ia dijalankan oleh penguji yang bertauliah di institut memandu. Penguji-penguji ini biasanya akan melihat sejauh mana tahap pemanduan anda. Sekiranya gagal dia akan mencadangkan anda untuk belajar 1 atau 2 kelas lagi sebelum diuji semula. Setelah lulus anda boleh menempah tarikh ujian praktikal JPJ.

9) Ujian Praktikal J.P.J.

Anda akan diuji oleh penguji yang dihantar oleh pihak JPJ. Terdapat 2 bahagian iaitu litar dan jalan raya. Anda perlu lulus kedua-duanya bagi membolehkan anda mendapatkan lesen P. Jika gagal, kebiasaannya anda akan dikenakan caj tambahan sebanyak RM100 – RM200 termasuk 1 atau 2 kelas lagi belajar memandu.

10) Lesen P

Setelah lulus ujian praktikal JPJ, anda perlu menyerahkan butir-butir di bawah kepada sekolah memandu anda :
i) 1 keping gambar.
ii) 1 keping salinan fotostat MyKad.
iii) 1 keping salinan lesen L.
iv) Bayaran (jika ada)

Dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu anda akan mendapat lesen P tersebut.

Categories: Lesen Memandu
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 31 other followers